Next event in:

  • 00 DAYS
  • 00 HR
  • 00 MIN
  • 00 SEC

News

Primary Ovarian Insufficiency (Versi Malay)

Categories: Clinical Updates

Primary Ovarian Insufficiency
Ani Amelia Zainuddin, Fong Ai Hsing, Rahana, Abd Rahman, Ng Beng Kwang|
Department of Obstetrics & Gynaecology, UKM Medical Centre)

 

Kebanyakan wanita akan mengalami menopaus (putus haid) dalam lingkungan umur 45 hingga 55 tahun, umur purata  adalah 51 tahun. Ini berlaku kerana pada umur demikian, ovari tidak lagi berfungsi dan berhenti mengeluarkan hormon oestrogen. Ini menyebabkan wanita tidak mengalami kitaran haid lagi. Oleh demikian, mereka akan mengalami gejala menopaus seperti rasa panas satu badan dan berpeluh, masalah tidur, masalah emosi, dan kurang bertenaga. Wanita ini juga akan mengalami masalah kencing dan kering di bahagian faraj yang menyebabkan sakit sewaktu melakukan persetubuhan. Jika seseorang wanita itu mengalami menopaus pramatang, ini bermaksud dia mengalami menopaus pada umur kurang dari 40 tahun. Keadaan ini boleh berlaku secara spontan atau disebabkan oleh rawatan perubatan seperti pembuangan ovari dan kesan kemoterapi atau radioterapi ke atas ovari yang akan menyebabkan kerosakan ovari.

“Primary Ovarian Insufficiency” (POI) merupakan istilah baru kepada ‘premature ovarian insufficiency’ yang digunakan untuk merangkumi keadaan di mana ovari gagal berfungsi dan sedang menuju ke arah menopaus pramatang. Ia berlaku kepada seorang dalam setiap 1,000 wanita pada umur 30 tahun dan seorang dalam setiap 100 wanita pada umur 40 tahun. Ia boleh berlaku akibat pelbagai sebab. Walau bagaimanapun, sebab mengapa wanita mengalami POI  kerap tidak dapat ditemui dalam kebanyakan kes.  Wanita yang mengalami POI akan mengalami kitaran haidnya yang tidak teratur dan kemudian haidnya berhenti lebih dari enam bulan.  Malah jika berlaku pada usia sebelum beliau memasuki umur akil baligh, wanita ini tidak akan mengalami haidnya langsung. Wanita ini juga akan mengalami gejala menopaus seperti yang disebut diatas.

 

Apakah faktor-faktor penyebab POI?

Antara faktor yang menyebabkan POI termasuk:

Faktor Contoh  penyakit
Genetik Turner syndrome

Fragile X syndrome

Gonadal dysgenesis

Autoimun (Sistem immunisasi menghasilkan antibodi yang menyerang ovari) Autoimmune polyendocrine syndrome

Hashimoto thyroiditis

Adrenal autoimmunity

Myasthenia gravis

Rheumatoid arthritis

Systemic lupus erythematosus

Pernicious anemia

Endokrin Hypoparathyroidism                    Hypoadrenalism
Metabolik Galactosemia

Carbohydrate-deficient glycoprotein deficiency

17 alpha –hydroxylase / 17, 20 desmolase deficiency

Aromatase mutations

Infeksi Jangkitan virus seperti Mumps (beguk) dan HIV
Iatrogenik (berkaitan dengan  rawatan perubatan) Pembedahan pelvis luas

Pembuangan ovari

Radiasi

Kemoterapi

 

 

Apakah simptom-simptom wanita yang mengalami POI?
Kadangkala, haid yang tidak teratur dianggap oleh doktor bahawa ianya berkaitan dengan tekanan namun ia merupakan gejala yang paling kerap berlaku dalam wanita yang mengalami  POI. Berhentinya haid atau kitaran haid yang jarang berlaku adaklah gejala utama POI. Selepas sekian lama, wanita yang mengalami POI juga akan mengalami gejala seolah-olah mereka sedang mengalami menopaus.

 

Bilakah saya perlu berjumpa dengan doktor?
Jika anda berumur bawah 40 tahun dan haid anda tidak teratur selama 4 bulan atau lebih, anda perlu pergi berjumpa dengan doktor.

Pertama sekali, doktor akan mengambil riwayat sakit daripada anda dan menjalani satu ujian kehamilan bagi memastikan ketidakaturan haid  anda bukan disebabkan oleh kehamilan. Selepas itu, doktor akan menjalani pemeriksaan ke atas badan anda untuk mencari sebab kenapa anda mengalami haid yang tidak teratur.

Setelah pemeriksaan fizikal dijalankan, bagi mereka yang disyaki mengalami POI, doktor akan mengambil darah untuk memeriksa paras Follicular Stimulating Hormone (FSH) untuk mengenalpasti keadaan ini. Sekiranya paras hormon FSH meningkat melepasi lingkungan menopaus (>40IU/ml), satu ujian ulangan FSH perlu dibuat dalam tempoh satu bulan. Sekiranya paras hormon FSH masih tinggi, anda akan didiagnos sebagai POI. Ujian lain seperti Anti-mullerian hormone (AMH) untuk mengenalpasti rizab ovari paras hormon estradiol selalunya kurang daripada 50pmol/L. Doktor juga perlu menjalani ujian-ujian darah lain keatas anda seperti ujian kromosom, genetik dan endokrin seperti karyotyping, paras thyroid stimulating hormone (TSH) dan Fragile X carrier screening. Doktor juga akan menjalani ujian ultrasound pelvis untuk mengukur saiz rahim dan ovari anda. Mungkin juga perlu buat ujian ke atas tulang seperti imbasan DEXA.

 

Apakah implikasi POI?
Akibat POI boleh dibahagikan kepada kesan jangka pendek atau panjang. Kesan jangka pendek merangkumi gejala vasomotor dan kesan jangka panjang termasuk:

  • Memendekkan jangka hayat
    POI yang tidak dirawati memendekkan jangka hayat pesakit sebanyak 2 tahun disebabkan penyakit kardiovaskular. Risiko kematian akibat penyakit jantung iskemia meningkat sebanyak 80% di antara wanita yang mengalami POI jika dibandingkan dengan wanita yang menopaus berumur 55 tahun ke atas.
  • Pengurangan ketumpatan mineral tulang
    Wanita yang mempunyai POI mempunyai risiko tinggi untuk dapat osteoporosis (tulang rapuh) disebabkan kekurangan estrogen, dimana estrogen menghalang resorpsi tulang dan membantu penyerapan kalsium di usus, untuk mengekalkan kekuatan tulang. Oleh itu, mereka perlu mengambil 1,200 hingga 1,500mg kalsium sehari dan pengambilan vitamin D yang mencukupi untuk penyerapan kalsium. Mereka perlu mengamalkan pemakanan tenusu seperti susu, keju yang boleh meningkatkan ketumpatan tulang mereka.
  • Penyakit kardiovaskular
    Dengan kekurangannya estrogen, pesakit POI mempunyai kadar penyakit kardiovaskular yang lebih tinggi (sehingga 1.7x) disebabkan kajian menunjukkan bahawa pendedahan kepada estrogen membantu melindungi pesakit daripada penyakit jantung.
  • Masalah kognitif
    Pesakit ini mengalami kehilangan daya ingat dan masalah untuk focus.
  • Kemandulan
    Pesakit POI akan mengalami masalah untuk hamil disebabkan ovarinya sudah tidak mengeluarkan telur yang dapat disenyawakan oleh sperma. Walau bagaimanapun, 5-10% daripada wanita POI boleh hamil disebabkan keadaan ovarinya yang pulih secara spontan atau dengan rawatan perubatan.
  • Penyakit autoimmun
    Adalah dijangkan bahawa sehingga 30% kes-kes POI adalah disebabkan oleh immun. Oleh itu, insidens autoimmune hypothyroidism, type I diabetes mellitus, adrenal insufficiency dan hypoparathyroidism meningkat.

 

Apakah rawatan untuk Primary Ovarian Insufficiency?
Sehingga kini, tidak ada rawatan yang terbukti dapat mengembalikan fungsi normal ovari pada wanita yang mempunyai POI. Penyelidikan  masih diperlukan untuk mendapat maklumat tentang rawatan yang optimum. Namun, terdapat beberapa rawatan untuk mengurangkan gejala-gejala POI dan rawatan untuk mengurangkan risiko kesihatan.

  • Terapi penggantian hormon (Hormone Replacement Therapy, HRT)
    Bagi wanita yang mempunyai POI, HRT dapat memberikan badan kita estrogen dan hormon-hormon lain yang tidak dapat dikeluarkan oleh ovari seperti progesterone. Doktor akan memberi rawatan HRT ini kepada wanita yang mengalami POI, mereka perlu mengambil gantian hormon estrogen setiap hari dan perlukan rawatan hormon progestogen (penggantian hormon progesterone) selama 10-14 hari setiap bulan untuk wanita yang masih mempunyai rahim. Ini membolehkan mereka mengalami kitaran haid dan menghalang mereka menghidap penyakit kardiovaskular serta osteoporosis. Wanita ini disyorkan mengambil HRT sehingga umur 51 tahun. Wanita yang mengalami POI perlu berjumpa dengan doctor setiap 6 bulan, ujian darah tiroid, kalsium dan kortisol perlu dijalankan secara tahunan, Manakala, ujian bone mineral density (BMD) dijalankan dua tahun sekali untuk memeriksa ketumpatan tulang supaya wanita ini tidak mengalami osteoporosis.

Jika wanita ini mengalami penyakit endokrin, mereka perlu dirujuk kepada pakar endokrin. Jika mereka inginkan kehamilan, mereka perlu dirujuk kepada pakar infertiliti. Wanita yang mengalami POI pasti memerlukan sokongan psikologi daripada pihak doktor dan ahli keluarga serta kawan-kawannya.

 

Kesimpulan

Wanita yang megalami masalah kitaran haid atau gejala menopaus perlu berjumpa dengan doktor  dengan segera untuk mendapatkan diagnosis secepat mungkin. Wanita ini juga memerlukan sokongan psikologi yang positif daripada pihak doktor dan ahli keluarganya untuk memastikan mereka menpunyai kualiti hidup yang bagus.

 

Rujukan

  1. Cox L, Liu JH. Primary ovarian insufficiency: an update. Int J Womens Health 2014;6:235-43.
  2. European Society for Human Reproduction and Embryology (ESHRE) Guideline Group on POI. ESHRE Guideline: management of women with premature ovarian insufficiency. Hum Reprod 2016;31(5):926-37.
  3. Podfigurna-Stopa A, Czyzyk A, Grymowicz M, Smolarczyk R, Katulski K, Czajkowski K, Meczekalski B. Premature ovarian insufficiency: the context of long-term effects. J Endocrinol Invest 2016;39(9):983-90.
  4. Hamoda H. The British Menopause Society and Women’s Health Concern Recommendations on the management with premature ovarian insufficiency. Post Reprod Health 2017;23(1):22-35.
  5. Kovanci E, Schutt AK. Premature ovarian failure: clinical presentation and treatment. Obstet Gynecol Clin North Am 2015;42(1):153-61.
  6. Luisi S, Orlandini C, Regini C, Pizzo A, Vellucci F, Petraglia F. Premature ovarian insufficiency: from pathogenesis to clinical management. J Endocrinol Invest 2015;38(6):597-603.
  7. Maclaran K, Panay N. Current concepts in premature ovarian insufficiency. Womens Health (Lond) 2015;11(2):169-82.
  8. Committee on Adolescent Health Care. Committee Opinion no. 605. Primary Ovarian Insufficiency in Adolescents and Young Women. Obstet Gynecol 2014;124(1):193-7.
  9. Rebar RW. Premature Ovarian “Failure” in the Adolescent. Ann N Y Acad Sci, 2008;1135:138-45.
  10. Committee on Gynecologic Practice. Committee opinion no.698. Hormone therapy in Primary Ovarian Insufficiency. Obstet Gynecol 2017;129(5):e134-41.
  11. van der Schouw YT, van der Graaf Y, Steverberg EW, Eijkemans JC, Banga JD. Age at menopause as a risk factor for cardiovascular mortality. Lancet 1996;347(9003):714-8.